Friday 26 August 2011

LAWATAN KE JELI


Pada 5 Mac 2011, satu lawatan ke Jeli telah diadakan bagi melawat seorang pelajar yang bernama Arzuan daripada Program Pendidikan Sukan dan Rekreasi (SUKRES) tahun 1 yang mengalami kemalangan jalan raya pada cuti pertengahan semester hari raya aidilfitri yang lalu. Lawatan ini dianjurkan oleh Unit Kebajikan Pelajar dengan kerjasama ahli Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Pendidikan,YDP Persatuan Mahasiswa Kelantan Darul Naim (PERDANA), Persatuan Mahasiswa Fakuli Pendidikan (PENDIDIK) dan beberapa orang rakan sekuliah Pendidikan Sukan dan Rekreasi (SUKRES) Tahun1. Rombongan ini terdiri daripada 30 orang peserta. Tujuan lawatan ini diadakan untuk melihat sendiri tahap perkembangan kesihatan selepas enam bulan saudara Arzuan berehat berada di rumah.

Pelajar tersebut mengalami koma hampir sebulan dan Alhamdulillah telah sedarkan diri cuma kadar ingatan masih lagi belum pulih sepenuhnya. Pelajar tersebut mengalami kecederaan di kepala dan tidak mengalami sebarang kepatahan. InsyaAllah, jika tidak ada aral melintang, pelajar tersebut akan meneruskan pengajiannya pada sesi pengajian 2011/2012. Keluarga pelajar tesebut menyambut kami dengan hati yang terbuka. Bacaan Tahlil dan Doa selamat turut diadakan bertujuan  memohon keberkatan daripada Allah s.w.t supaya pelajar tersebut dapat sembuh seperti dahulu dan menjalani kehidupan seorang mahasiswa di bumi UKM dan pemimpin di masa hadapan. Jamuan juga turut disediakan oleh pihak keluarga saudara Arzuan.

Sekalung tahniah dan penghargaan diatas kerjasama yang diberikan oleh semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan lawatan ini. Diharapkan usaha dan lawatan ini dapat diteruskan demi kebajikan mahasiswa/i UKM dapat dipertingkatkan. Doa daripada rakan-rakan mahasiswa UKM  amat diharapkan supaya Arzuan dapat sihat seperti dahulu dan meneruskan pengajiannya di UKM.

Sesi bergambar rakan-rakan fakulti pendidikan bersama saudara Arzuan

PERUTUSAN MPP FAKULTI PENDIDIKAN SIRI 1 SESI 2010/2011


Assalamuaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera, Salam Perjuangan. Pertama sekali marilah kita mengucapkan rasa kesyukuran kepada Allah s.w.t kerana dengan keizinanNya kita diberi kesempatan  dalam meneruskan perjuangan sebagai seorang bakal pendidik dan sebagai khalifah di muka bumi sehingga ke hari ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Semoga kita mendapat syafaatnya di akhirat kelak.

            Saya mewaliki seluruh pimpinan ahli majlis perwakilan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia ingin mengucapkan sekalung tahniah dan ribuan terima kasih di atas sokongan dalam memberikan peluang dan mandat dalam mengemudi Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia. Kami akan berusaha menjaga kebajikan anda semua. InsyaAllah.

Rakan-rakan mahasiswa/i yang saya kasihi, pejam celik-pejam celik, kita sudah berada di penghujung semester, peperiksaan akhir semakin hampir. Oleh itu, sebagai mahasiswa/i yang cemerlang, kita perlu mempersiapkan diri dengan bekalan ilmu untuk kita menghadapi peperiksaan yang akan tiba. Di samping itu, penjagaan kesihatan, fizikal dan mental, emosi dan spiritual perlu kita sediakan supaya dapat menghadapi peperiksaan dengan lebih tenang dan penuh keyakinan.

Bahkan usaha, doa dan tawakkal menjadi senjata bagi kita semua. Tidak dilupakan doa serta restu ibu bapa bagi mendokong terhadap kejayaan kita semua. Persediaan awal bagi menempuhi peperiksaan perlulah dimulakan daripada sekarang supaya tidak menyesal pada masa hadapan.

Segala tugasan dan kerja kursus perlulah disiapkan dengan kadar segera, dan mencapai kehendak pensyarah. y itu, perlulah dilakukan dengan kepuasan hati kita supaya menjadi yang terbaik. Semoga dengan usaha kita ini mendapat keberkatan dan kerahmatan daripada Allah s.w.t.

Selain itu, saya berharap  mahasiswa/i memanfaatkan cuti semester yang  panjang dengan aktiviti yang berfaedah di samping boleh menambahkan pendapatan secara tidak langsung dapat membantu keluarga di kampung.

Akhir kata, kita perlu sedar bahawa kita ini sedang menanggung amanah dan harapan daripada masyarakat. Oleh itu, saya mewakili warga fakulti Pendidikan ingin mengucapkan Selamat Menghadapi Peperiksaan Akhir. “ Semoga Kejayaan Milik Kalian Semua”

“ Bersama Mahasiswa Merealisasikan Varsiti”


PENTADBIRAN FAKULTI PENDIDIKAN YANG CAKNA DAN PRIHATIN.


Pada 1 April 2011, bermula jam 9 pagi dan sehingga jam 10.30 pagi, pihak pentadbiran Fakulti pendidikan telah mengadakan perjumpaan dengan wakil-wakil program dari kalangan mahasiswa prasiswazah seramai dua orang bagi setiap program. Selain itu, wakil mahasiswa daripada di peringkat master dan PHD turut dijemput. Terdapat 4 orang wakil pentadbiran yang menghadiri perjumpaan ini iaitu Prof. Dr. Lilia Halim Dekan Fakulti Pendidikan, Prof. Dr. Zuria Mahmud Timbalan Dekan Siswazah dan Hubungan Antarabangsa, Prof. Madya. Dr. Nik Rahimi Nik Yusuf Penyelaras Program Siswazah, Prof. Madya Dr. Norazah Mohd Nordin Penyelaras Program Pendidikan Sains. Perjumpaan ini bertujuan untuk mendengar dengan sendiri permasalahan daripada mahasiswa itu sendiri dan memikirkan jalan penyelesaiannya.

Antara isu-isu yang dibangkitkan oleh pelajar prasiswazah ialah mengenai bebanan matapelajaran setiap semester, jumlah unit yang banyak iaitu 160 unit, praktikal yang akan dilaksanakan pada semester 2 menyebabkan pelajar tidak dapat menyelasaikan mata pelajaran yang tertinggal dan memperbaiki keputusan, pertindihan kuliah di fakulti yang berlainan seperti di Fakulti FSSK dan FST, lambakan projek kerja lapangan pada tahun 3, kemudahan parking motosikal yang berhampiran dengan Gerak Minda, masalah tidak wujudnya interaksi antara pelajar tahun 1,2,3,4. Selain itu, interaksi dengan pelajar yang berlainan program pengajian amat kurang disebabkan  tidak mempunyai kelas yang sama.

Alhamdulillah pihak Fakulti Pentadbiran akan menyelesaikan masalah-masalah yang timbul, antara memodulkan dan menetapkan minor supaya jadual kuliah tidak lagi berlaku pertindihan. InsyaAllah di peringkat ahli Majlis Perwakilan Pelajar akan berusaha mencadangan kepada pihak pentadbiran supaya masalah para pelajar di fakulti Pendidikan dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.

Pihak Pentadbiran Fakulti Pendidikan UKM yang hadir mengendalikan Perjumpaan.

Pelajar-pelajar dan wakil-wakil program yang turut hadir ke perjumpaan tersebut.

Wakil program TESL, SUKRES dan Sains yang turut memberikan cadangan kepada Pihak Pentadbiran.




MEMOHON MENYEDIAKAN KEMUDAHAN PELAJAR DI FAKULTI PENDIDIKAN

Ybhg. Prof. Dr. Lilia Halim
Dekan Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 UKM Bangi
Selangor Darul Ehsan.

Melalui:

Ahmad Muzammil bin Muhd Hairi
Presiden
Persatuan Mahasiswa
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ybhg. Prof. Dr.,

MEMOHON MENYEDIAKAN KEMUDAHAN PELAJAR DI FAKULTI PENDIDIKAN

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

2.         Adalah dimaklumkan bahawa saya Mohd Izzuddin bin Mohd Pisol, Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Pendidikan ingin memberi beberapa cadangan untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur di Fakulti Pendidikan demi keselesaan para pelajar.

3.         Senarai cadangan adalah seperti beikut:

1.      Mengoptimumkan penggunaan Galeri Fakulti Pendidikan sebagai Pusat Perbincangan Kumpulan.
2.      Menyediakan ruang letak motosikal di hujung bangunan Gerak Minda.
3.      Menyediakan sebuah mesin watercooler di Bangunan Bilik Pengajaran Mikro dan Makmal.
4.      Membaiki mesin watercooler di Gerak Minda dan bawah Pejabat Dekan Fakulti.
5.      Menyediakan mesin air minuman jenis Tropicana Twister di Bangunan Gerak Minda.
6.      Menyediakan meja permainan ping pong di bawah Pejabat Dekan Fakulti.
7.      Menyediakan sebuah gelanggang badminton bergarisan berhampiran tempat letak motosikal di Fakulti Pendidikan.
8.      Menyediakan dua buah tong sampah berhampiran dengan Gazebo.

4.         Oleh itu, saya amat berharap agar pihak Prof. Dr. dapat mempertimbangan dan meluluskan permohonan cadangan ini. Segala kerjasama dan keprihatinan pihak Prof. Dr. amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan  terima kasih.

Sekian.

Yang menjalankan tugas,



MOHD IZZUDDIN BIN MOHD PISOL
Ahli Majlis Perwakilan Pelajar
Fakulti Pendidikan
Persatuan Mahasiswa
Universiti Kebangsaan Malaysia

s.k - Fail Presiden PMUKM sesi 2010/2011
      - Fail Setiausaha Agung PMUKM sesi 2010/2011



LAPORAN LAWATAN PELAJAR DIPLOMA TESL UNIVERSITI SULTAN ZAINAL ABIDIN (UNISZA)

Pada hari rabu, 23 Mac 2011, bermula jam 2 hingga 5 petang, bertempat di Gerbang Minda. Fakulti Pendidikan UKM telah menerima kunjungan dari rombongan pelajar Diploma TESL Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) Terengganu. Lawatan ini telah dikendalikan oleh  Persatuan Mahasiswa Fakulti Pendidikan (PENDIDIK). Turut hadir dalam meraikan majlis bersama mereka adalah Penyelaras Program Prasiswazah TESL, Dr. Nooreiny Maarof, wakil Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Pendidikan iaitu saudara Mohd Izzuddin Mohd  Pisol, serta pelajar-palajar jurusan TESL Fakulti Pendidikan UKM. Matlamat utama lawatan ini adalah unutk bertukar-tukar idea, serta mendalami program kedua-dua buah universiti. Dalam majlis tersebut, wakil kedua-dua universiti telah membentangkan tentang latar belakang universiti masing-masing, maklumat tentang program, serta persembahan montaj. Seramai 20 orang pelajar UNISZA telah menghadiri lawatan ini bersama 2 orang guru pengiring. Program ini telah membuka ruang untuk penyampaian maklumat, pertukaran idea dan pendapat. Jalinan kerjasama antara kedua universiti telah terbentuk dan diharapkan agar jalinan ini dapat diperkukuh dengan kerjasama bersama pada masa akan datang.

Penerangan tentang Program TESL di Fakulti Pendidikan UKM.

Ucapan dan perkongsian oleh Wakil Mahasiswa Program TESL UNISZA.

Kesemua peserta lawatan mendengar ucapan dengan penuh perhatian.

Wakil daripada Persatuan Mahasiswa Fakulti Pendidikan

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grants For Single Moms